suria

Jangan Terpedaya Individu Guna Nama MB Perak Kutip Dana - Zambry

Zambry Abdul Kadir

IPOH: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan individu yang menyalahgunakan nama Menteri Besar Perak, pegawai atau Pejabat Menteri Besar Perak untuk menipu dan memanipulasi mereka melalui kutipan wang atau dana.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang didatangi individu tertentu agar membuat semakan terlebih dahulu di Pejabat Menteri Besar atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pentadbiran bagi kesahihan dokumen, fail, surat atau apa-apa maklumat yang dikemukakan.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan bertolak-ansur malah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memperdaya orang ramai dengan menggunakan nama beliau, pegawai atau Pejabat Menteri Besar serta penjawat awam.

Zambry berkata demikian dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan bagi mengingatkan masyarakat tentang tindakan pihak tertentu menggunakan modus operandi penipuan untuk mengaut keuntungan.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Ipoh, tiga individu termasuk sepasang suami isteri ditahan reman lima hari berhubung kes rasuah membabitkan pemberian beberapa projek termasuk mengorek pasir dan pembalakan di Perak.

Mereka disyaki menggunakan nama menteri besar dan exco kerajaan negeri untuk memperoleh wang sebanyak RM10,000 sebagai balasan bagi mendapatkan projek terbabit daripada kerajaan negeri untuk beberapa kontraktor serta ahli korporat.

Artikel Lain