Beliau berkata kontraktor dijangka memulakan kerja pembaikan bulan depan dan fokus utama pembaikan ialah di lokasi antara Kuala Krai dan Bertam Baru di Gua Musang yang mengalami kerosakan paling teruk.
"Fokus utama di kawasan itu kerana penggunaan perkhidmatan keretapi yang tinggi oleh pelajar sekolah dan penduduk setempat. Ia melibatkan landasan sepanjang 62km," katanya kepada pemberita selepas meninjau landasan keretapi yang rosak akibat banjir di Kampung Kubang Lebur di sini, Khamis.
Beliau berkata banjir besar yang berlaku Disember lepas telah menyebabkan 79 lokasi landasan keretapi dan infrastruktur lain dari Gemas hingga Tumpat mengalami kerosakan dan pembaikan keseluruhannya dijangka mengambil masa setahun.
Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pakaian sekolah kepada pelajar mangsa banjir anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di sini, Ab Aziz berkata mangsa banjir yang hilang atau rosak lesen memandu, cukai jalan atau surat hak milik kenderaan, boleh mendapatkan yang baharu secara percuma sehingga akhir bulan ini.