suria

Yang Di-Pertuan Agong Rai Jokowi Pada Jamuan Negara

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan meraikan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri, Ibu Iriana Joko Widodo pada Jamuan Negara di Istana Negara, malam Khamis. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan meraikan Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri, Iriana pada Jamuan Negara di Istana Negara di sini malam Khamis.

Pemimpin Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi tiba petang Khamis bagi melakukan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari.

Turut hadir pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Lawatan sulung Jokowi itu adalah atas undangan Seri Paduka.

Pada Jumaat, Jokowi yang dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lepas, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Najib dan isteri juga akan menjadi hos pada majlis makan tengah hari rasmi untuk meraikan Jokowi, isterinya dan delegasi di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Presiden Indonesia itu juga dijadual melawat Proton bagi meninjau peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang automotif.

Lawatan sulung Jokowi itu dilihat akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.


Artikel Sebelum

Artikel Lain