suria

MH17: Waris Atur Langkah, Dapatkan Khidmat Peguam Antarabangsa

Eksklusif KUALA LUMPUR: Kunjungan peguam antarabangsa ke negara ini dalam usaha membantu menuntut keadilan bagi pihak mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 mendapat perhatian ramai waris dan ahli keluarga.

Dalam satu pertemuan tertutup yang diadakan di sini, Rabu, seramai 13 waris mewakili 10 anak kapal MH17 dikatakan telah hadir mendengar taklimat dan mengadakan perbincangan dengan seorang peguam terkemuka dari sebuah syarikat pengurusan tuntutan yang berpangkalan di Australia.

Dua lagi waris yang telah mengesahkan kehadiran mereka sebelum ini terpaksa membatalkan hasrat tersebut pada saat akhir.

Menurut sumber kepada mStar Online, walaupun semua mangsa telah dikenal pasti dan selamat dikebumikan, kebanyakan ahli keluarga masih kabur tentang langkah seterusnya, terutama dari segi mendapatkan hak dan keadilan yang sepatutnya berdasarkan undang-undang.

"Ada beberapa perkara belum selesai dan pertemuan 'datang' tepat pada masanya, ketika mereka tertunggu-tunggu panggilan daripada pihak tertentu.

"Mungkin sebab itu ramai yang hadir, walaupun ada di antaranya mempunyai peguam atau penasihat undang-undang sendiri," katanya, namun enggan berkongsi hasil pertemuan tersebut.

Satu lagi sumber memberitahu, pertemuan selama kira-kira dua jam itu diadakan khas untuk kesemua 15 waris anak kapal MH17, namun difahamkan satu pertemuan sama sedang diatur pada tarikh lain khusus untuk waris penumpang pula.

"Pertemuan berjalan lancar, tenang dan taklimat yang diberikan adalah jelas.

"Ia menyaksikan satu kumpulan besar ahli keluarga mangsa (anak kapal) berhimpun untuk tujuan sama iaitu untuk mencari saluran terbaik bagi memastikan orang tersayang mendapat hak dan keadilan sewajarnya," katanya kepada mStar Online.

Menurut sumber berkenaan, pertemuan secara besar-besaran seperti itu yang melibatkan peguam luar negara adalah pertama kali diadakan sejak berlakunya insiden malang Julai lalu - bukan diatur oleh mana-mana ahli keluarga mangsa.

Dalam pada itu, sumber lain memberitahu mStar Online, peguam terbabit mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam pengurusan tuntutan bagi industri penerbangan.

Difahamkan, terdapat seorang lagi peguam yang mempunyai pengalaman lebih 36 tahun dalam bidang perundangan namun tidak dapat menghadirkan diri dalam pertemuan itu.

Tambahnya, firma yang berpangkalan di Australia itu beroperasi sejak lebih 30 tahun dan membantu pelanggannya dalam nahas penerbangan di Asia sejak 1991.

"Antara tujuan mereka adalah untuk memastikan keadilan yang sepatutnya diterima oleh keluarga mangsa MH17 dari segi tuntutan, selain memastikan pihak yang melakukan tindakan menembak jatuh pesawat itu akan dibawa ke muka pengadilan.

"Syarikat itu telah memberi bantuan kepada 800 keluarga dan kira-kira 30 nahas pesawat. Katanya, 29 kes daripada jumlah itu berjaya diselesaikan yang mana pampasan diberikan kepada waris penumpang dan anak kapal," katanya.

Menurut sumber itu lagi, syarikat berkenaan mendakwa pernah mengendalikan beberapa kes tuntutan bagi nahas pesawat seperti Garuda Airlines GA200, Lion Air 538, Korean Airlines 801.

Malah pihak berkenaan turut mendakwa mengendalikan tuntutan bagi kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac tahun lalu, yang telah diisytiharkan sebagai kemalangan dan menganggap kesemua 239 penumpang dan anak kapal terkorban.

Mengenai caj guaman, firma itu mendakwa mereka beroperasi atas dasar “tidak menang, tiada bayaran”.

Bagaimanapun, caj sebanyak 15 sehingga 25 peratus akan dikenakan terhadap pampasan sekiranya memenangi kes tersebut kelak.

Minggu lalu, mStar Online dalam satu laporan eksklusifnya mendedahkan bahawa satu mesej ringkas telah dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada semua waris mangsa nahas penerbangan MH17 yang menjemput mereka bertemu peguam dari luar negara dalam tempoh terdekat.

Ramai penerima mesej dikatakan ragu-ragu dengan mesej tersebut kerana maklumatnya agak terhad, menyebabkan mereka ‘berfikir dua kali’ untuk menghadirinya.

MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain