suria

Isu Perkauman Tak Timbul, MCA Fokus Isu Harga Barang - Tiong Lai

Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu tetap dengan pendirian untuk menentang tindakan peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenang, bukan melihatnya sebagai isu perkauman.

Katanya, permasalahan utama yang wujud ketika ini melibatkan harga barang yang tinggi, oleh itu MCA akan memberi tumpuan untuk menangani isu tersebut.

"Kita perlu lihat isu dengan lebih jelas, tepat dan fokus.

"Jangan jadikannya sebagai isu perkauman, bila kita kaitkan isu kenaikan harga barang dengan kaum, ia akan jadi isu perkauman...ini tak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pasarnita di Pasar Seni di sini, Jumaat.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA sedia memberi kerjasama dengan semua pihak dalam usaha membanteras tindakan mana-mana peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

Katanya, kerjasama semua pihak dalam isu ini penting bagi memastikan inflasi dalam negara dapat dikawal dengan baik.

"Kita boleh bekerjasama dengan pihak peniaga dan mereka juga boleh tampil membantu menyahut seruan kerajaan untuk tangani isu ini," katanya.

Mengenai gesaan Pemuda MCA Chong Sin Woon supaya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan kerana mendakwa beliau rasis, Tiong Lai berkata  'tiada sebab' untuk itu kerana beliau hanya 'membangkitkan isu'.

Jelasnya, Kabinet telah berbincang perkara itu dan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu ini dihormati semua pihak.

"Tapi bila ada di peringkat akar umbi dan masyarakat masyarakat umum suarakan pandangan mereka, saya rasa isu ini kita perlu tangani melalui cara terbaik.

"Ismai Sabri juga perlu memahami ini sebagai satu isu yang sangat dekat dengan hati masyarakat di negara kita, beliau perlu tahu apa yang patut dilakukannya," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain