suria

Malaysia, Indonesia Sepakat Zon Waktu Seragam Asean

Najib dan Joko Widodo mengetuai kedua-dua delegasi mengadakan mesyuarat dua hala Malaysia-Indonesia di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Jumaat.

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia sepakat inisiatif zon waktu seragam Asean diberi pertimbangan sewajarnya oleh pertubuhan serantau itu.

Malah Presiden Joko Widodo menyuarakan hasratnya mahukan perbincangan berkaitan zon waktu seragam itu di peringkat pertubuhan serantau berkenaan diadakan segera.

"Common time zone iaitu kesepakatan zon masa Asean adalah simbolik persatuan dalam Asean. Oleh itu ia haruslah segera dilanjutkan dalam kalangan negara-negara Asean," kata pemimpin Indonesia itu yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perdana Putra di sini hari ini selepas mengadakan pertemuan empat mata dan menghadiri mesyuarat delegasi.

Jokowi kini dalam rangka lawatan negara selama tiga hari di Malaysia bermula Khamis.

Najib dalam sidang media bersama itu berkata tujuan mewujudkan zon masa seragam Asean adalah bagi memudahkan perniagaan dan intergrasi negara-negara Asean.

"Ia adalah untuk menunjukkan solidariti Asean," katanya.

Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata zon waktu seragam Asean turut dibincangkan pada Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 27 dan 28 Januari baru-baru ini.

Antara manfaat zon waktu seragam bagi rantau ini adalah mengukuhkan hubungan perniagaan dan kerjasama antara kerajaan dalam Asean dan negara-negara di Asia yang lain.

Selain itu, zon waktu seragam akan membolehkan lebih banyak masa bagi tujuan komunikasi; menyelaras aktiviti pasaran saham; meningkatkan sistem operasi penerbangan dan menambah baik rangkaian perniagaan dan perbankan di rantau Asia.


Asean, zon waktu seragam, Joko Widodo

Artikel Lain