suria

MH17: Waris Tuntut Hak, Pampasan Bukan Penyelesaian Mutlak

PETALING JAYA: Wang pampasan bukan penyelesaian mutlak buat waris mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, sebaliknya tuntutan hak dan keadilan ke atas insiden pesawat yang ditembak jatuh di timur Ukraine itu lebih utama.

Rata-rata waris berpandangan nyawa mangsa tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan nasib mereka yang terkorban dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu itu perlu dibela dengan mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan sebagai penyudah sebenar.

Justeru, tidak hairanlah kunjungan peguam antarabangsa ke negara ini Rabu lalu dalam usaha membantu menuntut keadilan bagi pihak mangsa mendapat perhatian ramai waris dan ahli keluarga.

Ahmad Tarmizi Ismail, suami kepada pramugari MH17, Allahyarham Hamfazlin Sham Mohamed Arifin ketika dihubungi mStar Online berkata, layanan dan bayaran pampasan yang didakwa diagihkan tidak sama rata oleh MAS menjadi antara faktor  beliau dan beberapa waris lain mencari pihak yang dapat membawa mereka keluar dari dilema yang dihadapi.

Ahmad Tarmizi Ismail bersama anaknya, Alif Hazim 2, and Alif Haiqal 8 ketika pengebumian Hamfazlin Sham di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak.

Katanya, ramai waris didatangi peguam tempatan dan luar negara selepas insiden, namun mendapatkan peguam terbaik menjadi matlamat mereka, memandangkan timbul beberapa perkara yang mengelirukan ketika proses mendapatkan keadilan.

“Kita agak kecewa dari segi bayaran pampasan. Wang pampasan memang ditawarkan tetapi saya dan kebanyakan waris tak ambil lagi kerana ia tidak sama rata. Untuk wang yang jelas menjadi hak kami, banyak dokumen yang perlu ditandatangani dan dipersetujui seolah-olah kami menuntut ‘faraid’.

“Kami (waris anak kapal) diandaikan terikat dengan kontrak atau perjanjian dengan syarikat, oleh itu dari segi pampasan kami ’diasingkan’ daripada penumpang yang juga mangsa,” dakwa beliau.

Beliau berkata, tempoh setahun diberikan oleh MAS untuk waris mengambil pampasan tersebut, namun kebanyakan waris dinasihatkan oleh pakar undang-undang supaya menangguhkannya  dan membuat beberapa pertimbangan sebelum mengambilnya.

“Yang ambil mungkin perlukan bantuan kewangan atau tidak mahu memanjangkan lagi isu ini,” katanya sambil menambah beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu mendapatkan khidmat peguam tersebut atau sebaliknya.

Bagi Mohamed Salleh Samsudin, bapa kepada pramugari Allahyarham Nur Shazana, soal wang pampasan ‘diletakkan tepi’ seketika, kerana mahu memberi tumpuan dalam menuntut keadilan bagi pihak anaknya.

Mohamad Salleh dan isteri, Sharom Ibrahim yang juga ibu bapa kepada kru kabin Nur Shazana ketika pengebumian anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan Pecint 20 Putrajaya.

“Siapa yang tak mahu duit. Cuma sekarang kami nak tahu perkembangan kes, kenapa ditembak, siapa yang menembak kerana semua itu penting bagi waris tetapi selama ini maklumat-maklumat itu kami tak dapat.

“Kalau dapat peguam terbaik, dia dapat bantu siasat dengan terperinci, cari siapa, mengapa dan bagaimana ia boleh berlaku.

“Bila sudah ada jawapan kepada persoalan itu, barulah boleh fikir tentang pampasan,” katanya.

Tegas beliau, mendapatkan khidmat peguam antarabangsa adalah perlu kerana kes itu rumit dan Malaysia tiada peguam yang arif dalam bidang penerbangan.

“Bukan niat kita nak saman MAS atau kerajaan. Kita cuma mahu siasatan dibuat dan pihak bertanggungjawab diberi pengajaran,” katanya.

Mariyam Yusoff, isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin pula berkata, beliau mencari ruang dan peluang sebaik mungkin dalam memperjuangkan keadilan buat suami tercinta.

Mariyam ketika saat gembira bersama suaminya, Allahyarham Wan Amran.

Beliau yang mengaku hadir sesi taklimat itu berkata, tujuan utama adalah untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bantuan guaman seiring perjuangannya menuntut hak.

"Peguam berkenaan menerangkan dengan jelas berkaitan tuntutan membabitkan nahas pesawat.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan. Banyak perkara perlu diteliti kerana apa yang diperjuangkan bukannya mudah untuk ditangani.

"Persoalannya adakah mereka boleh meyakinkan kami, pihak perundangan dan seluruh dunia bahawa insiden MH17 boleh diperjuangkan demi menuntut hak dan keadilan terhadap mangsa," katanya.

Seorang lagi waris kepada salah seorang anak kapal MH17 yang enggan dikenali memberitahu, kehadirannya pada taklimat itu bagi membuat perbandingan tawaran yang dikemukakan beberapa pihak untuk membantu memperjuangkan tuntutan hak tersebut.

"Masih terlalu awal untuk diputuskan kerana kami sekadar mendengar taklimat yang diberikan oleh peguam berkenaan.

"Banyak perkara dan persoalan perlu dirungkaikan terlebih dahulu supaya kami dapat mengenal pasti apakah cara terbaik untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan," katanya yang enggan mengulas lanjut.

mStar Online dalam laporan eksklusifnya pada Khamis mendedahkan bahawa satu pertemuan tertutup yang besar telah berlangsung di Kuala Lumpur, membabitkan 13 waris mewakili 10 anak kapal MH17 bagi mendengar taklimat oleh seorang peguam terkemuka dari sebuah syarikat pengurusan tuntutan yang berpangkalan di Australia.

Difahamkan, pertemuan itu sepatutnya turut melibatkan seorang peguam terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) manakala dua lagi waris mangsa yang mengesahkan kehadiran mereka terpaksa membatalkan hasrat tersebut pada saat akhir.

Menurut sumber, syarikat itu telah memberi bantuan kepada 800 keluarga melibatkan kira-kira 30 nahas pesawat di mana 29 kes berjaya diselesaikan meliputi pampasan diberikan kepada waris penumpang dan anak kapal.

Syarikat itu turut mendakwa mereka beroperasi atas dasar “tidak menang, tiada bayaran” dengan caj sebanyak 15 sehingga 25 peratus yang akan dikenakan terhadap pampasan sekiranya memenangi kes tersebut kelak.


Artikel Lain