suria

Jokowi Ketepi Protokol, Lebih Senang Bersalam Dengan Rakyat

Joko Widodo.
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo mengetepikan protokol sebaik sahaja turun daripada kenderaan rasmi yang dinaikinya apabila beliau dilihat lebih senang bersalaman dan bertanya khabar dengan rakyat Indonesia yang berada di luar bangunan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. 

Seorang peniaga, Rohana Sulaiman, 55, yang berasal dari Acheh berkata dia sangat terkejut apabila presiden secara peribadi bertanya khabar mengenai kehidupannya di negara ini. 

"Kami menunggu sanggup menunggu beliau lebih daripada tiga jam, akhirnya kami dapat juga bertemu dengannya. 

"Beliau bertanya bagaimana keadaan saya dan saya memberitahunya saya gembira dan kami sempat mengambil gambar bersama. Saya yakin tidak akan dapat memperoleh peluang serupa jika saya di Indonesia. 

"Beliau sememangnya seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat dihadapan," katanya kepada pemberita, pada Jumaat. 

Sementara itu, wakil komuniti Jambi di Malaysia, Mat Jizal, 32, berterima kasih kepada presiden kerana melawat Malaysia Dia yakin ia dapat mengukuhkan hubungan dua negara yang berjiran. 

"Saya pasti hubungan kedua-dua negara akan lebih kukuh selepas ini dan kami berharap ada hasil yang positif daripada pihak yang berkepentingan," katanya. 

Masri Baktiar, 60, rakyat Indonesia yang berasal dari Medan berkata, dia sangat gembira kerana dapat bertemu serta bersalaman dengan presiden Indonesia itu walaupun ia berlaku dalam tempoh masa yang singkat. 

"Dengan Pak Jokowi tidak banyak protokol, sesiapa sahaja boleh bertemu dengannya. Sebab itu beliau sangat popular di Indonesia," katanya. 



Artikel Lain