suria

Tujuh Penumpang Tinggalkan Pesawat Selepas Terdengar Pergaduhan Dalam Kokpit

GEORGE TOWN: Tujuh penumpang pesawat Malindo Air enggan menaiki pesawat berkenaan selepas mereka terdengar pertengkaran yang serius daripada kokpit beberapa minit sebelum pesawat itu berlepas. 

Bagaimanapun, pesawat tersebut selamat mendarat selepas mengalami kelewatan selama 50 minit, apabila tujuh penumpang mengambil keputusan enggan meneruskan perjalanan dengan pesawat tersebut. 

Pesawat tersebut dijadual berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 9.40 malam dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) pada pukul 10.40 malam Khamis dengan hanya membawa 59 orang penumpang. 

Posting Facebook mengenai insiden itu dimuat naik oleh rakan salah seorang penumpang dan ia menjadi viral di Internet. 

Seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun, yang mahu dikenali sebagai Kee, turut memuat naik gambar pesawat ketika kejadian. 

Ketika dihubungi, Kee berkata dia sering menaiki pesawat syarikat berkenaan pada setiap minggu untuk ke Pulau Pinang atas urusan kerja. 

"Semua penumpang dalam pesawat, dapat mendengar suara orang menjerit daripada kokpit. 

"Terang-terangan kapten dan pembantu juruterbang sedang bergaduh besar. Jeritan mereka sangat kuat hingga menyebabkan semua penumpang terkejut. Kemudiannya pramugari dilihat keluar daripada kokpit dengan linangan air mata," katanya. 

Dia berkata seorang penumpang warga asing merupakan individu pertama yang berdiri dan meminta kebenaran untuk turun daripada pesawat. 

"Beberapa minit selepas itu, saya bertanya kepada pramugari apa sebenarnya yang berlaku. Atas faktor keselamatan,  saya bersama-sama dengan 20 penumpang lain turut membuat keputusan untuk meninggalkan pesawat. 

"Kami kemudiannya pergi ke bangunan utama dan beberapa ketika selepas itu juruterbang datang dan memohon maaf daripada kami. Dia turut memujuk kami agar kembali menaiki pesawat," katanya. 

Walaupun ramai yang membuat keputusan untuk menaiki pesawat tersebut, Kee berkata dia bersama dengan enam penumpang lain tetap enggan menaiki pesawat kerana bimbang masalah emosi yang dihadapi oleh kapten dan pembantu juruterbang tersebut. 

"Saya sangat takut selepas menyaksikan situasi tersebut, saya merasakan mereka tidak layak untuk menerbangkan pesawat dalam keadaan tertekan, dan anak kapal juga tidak dapat memastikan keselamatan penumpang," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata syarikat penerbangan itu mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan pekerjanya termasuk anak kapal pesawat berkenaan.  

Beliau turut memohon maaf kepada penumpang atas salah faham dan kelewatan yang berlaku. 

"Kami merasakan satu penjelasan perlu dibuat terlebih dahulu. Syarikat penerbangan kami mengambil tanggungjawab penuh ke atas semua pekerja termasuk anak kapal. Malangnya, rakan penumpang yang berkongsi cerita mengenai insiden yang berlaku mungkin telah salah tafsir situasi yang berlaku. 

"Daripada rakaman suara kokpit dan pemahaman kami, kapten sedang mengarahkan juruterbang pelatih dengan satu arahan yang tegas kerana juruterbang dan pembantu juruterbang sedang bersiap sedia untuk berlepas. 

"Bagaimanapun, selepas mendengar arahan yang kuat daripada kokpit, salah seorang penumpang membuat keputusan untuk turun daripada pesawat atas sebab-sebab yang tidak diketahui," katanya. 

"Seramai 18 penumpang lain turut mengambil keputusan yang serupa sementara penumpang lain membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan mereka dengan pesawat tersebut. 

"Kedua-dua kapten dan pembantu juruterbang mengikut prosedur standard dengan memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku kepada penumpang. Juruterbang turut memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan yang berlaku dan salah faham yang timbul. 

"Insiden tersebut menyebabkan pesawat berkenaan mengalami kelewatan selama 50 minit, dan pesawat hanya berlepas pada pukul 10.30 malam dengan hanya beberapa orang penumpang yang mengambil keputusan untuk mengambil alternatif lain. 

Beliau menambah, keselamatan dan keselesaan penumpang merupakan keutamaan utama syarikat penerbangan tersebut dan mereka juga mengekalkan operasi perkhidmatan di peringkat tertinggi.

Malindo Air

Artikel Lain