suria

Tubuh Jawatankuasa Khas Pantau Penyebaran Fahaman Ekstremisme di Sekolah Pondok

ALOR SETAR: Sebuah jawatankuasa khas bagi memantau dan menangani penyebaran jihad bermotifkan militan dalam kalangan pelajar madrasah dan sekolah pondok perlu ditubuh kerajaan negeri sebagai usaha mencegah fahaman ekstremisme daripada menular.

Setiausaha Persatuan Majlis Ummah Ahli Sunnah (MUAS) Kedah Muhamad Fazilul Helmi Raidzan berkata anggota jawatankuasa itu haruslah ditempatkan di setiap pejabat agama daerah bagi memudahkan pemantauan dan penerimaan sebarang laporan.


"Kena ada satu jawatankuasa khas memantau perkara ini, dapat kesan terus ambil tindakan undang-undang, sekiranya ada laporan guru mengajar lain daripada daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, terus ambil tindakan," katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama hari ini.

Muhamad Fazilul yang juga Pengerusi Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah berkata institusi pondok dan madrasah tidak seharusnya dicemari dengan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, justeru pemilihan tenaga pengajar yang sesuai perlu dititikberatkan.

"Mereka (pelajar) dengan kezamanan yang kuat untuk berjihad tetapi pemikiran mereka itu sudah terpesong daripada guru yang silap, tidak belajar dari guru yang berpegang kepada ahli sunnah, ini sebab berlaku perpecahan," katanya.

Muhamad Fazilul turut mencadangkan tenaga pengajar di institusi sekolah pondok tidak memasukkan elemen politik di dalam pengajian kerana dikhuatiri menjadi punca permasalahan.

Katanya tiada keperluan untuk rakyat Malaysia untuk terlibat dengan perjuangan militan, sebaliknya jihad dari aspek pemikiran dan ekonomi adalah penting selain menyarankan agar umat Islam kembali bersatu berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Senada dengan itu, Pengerusi Persatuan Profesional Muda Islam Kedah (PROMIS) Dr Nazil Nuhairi Ismail berkata jawatankuasa dicadangkan terbabit perlulah juga berfungsi meneliti dan menapis ketat guru-guru di sekolah pondok.

Nazil berkata ini kerana peranan guru di sesebuah sekolah pondok adalah penting kerana kebiasaannya pelajar akan menganggap apa yang disampaikan oleh guru adalah 'betul' dan perlu diikuti.

Katanya ini termasuk meneliti dan memperhalusi pengajaran dan kaedah pengajaran di sekolah pondok selain memperkasa peranan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam memberi pendidikan dan pendedahan mengenai jihad.

Beliau menyarankan agar JAIK bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam di Kedah ke arah proses pemahaman jihad yang sepatutnya diamalkan.

"Langkah pencegahan daripada awal amat penting, kerana masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Kita takut kalau tiba-tiba fahaman ini menular, tidak mustahil negara kita boleh diserang oleh pejuang IS (kumpulan militan Islamic State) ini," katanya.

jihad, ekstremisme, sekolah pondok

Artikel Lain