BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian melempar bungkusan dipercayai mengandungi daging babi ke dalam perkarangan Masjid Telaga Air, di sini awal pagi Jumaat. Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan memberitahu Bernama lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kariah masjid berkenaan sebaik menyedari kejadian itu dan kemudian menyerahkan suspek kepada polis. Sementara itu, Setiausaha Masjid Telaga Air Ahmad Taufiq Saedon berkata lelaki itu ditahan pada pukul 2 pagi ketika cuba melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal. "Ketika kejadian lelaki itu membaling bungkusan plastik mengandungi daging babi ke dalam kawasan masjid dan melarikan diri dengan menunggang motosikal, tetapi tindakan pantas beberapa kariah berjaya menahan lelaki itu," katanya. Imam Dua Masjid Telaga Air Mohd Asri Harun pula berkata kejadian dilempar bungkusan berisi daging babi awal pagi ini bukan pertama kali berlaku. Beliau berkata dalam beberapa kejadian sebelum ini, pihaknya telah membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengesan individu yang terbabit. "Kami turut membuat majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk memohon doa dengan harapan perkara itu tidak lagi berulang. Perbuatan seumpama itu juga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai yang datang untuk bersolat malah ada yang berasa was-was," katanya.