Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya akan memantau rapi keadaan di sana pada hari berkenaan.
"Saya percaya tidak ada apa-apa yang akan berlaku kerana saya rasa semua orang dah matang, dan akan menerima keputusan mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Edisi Khas Kenderaan-kenderaan mainan PDRM oleh syarikat pengeluar peralatan permainan Daisheng (M) Sdn Bhd (Daisheng) di sini, Jumaat.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata PDRM belum menerima pengesahan rasmi daripada Filipina berhubung laporan bahawa seorang rakyat Malaysia dipercayai terbunuh dalam pertempuran di negara itu baru-baru ini.
Laporan media Filipina menyebut seorang lelaki Malaysia berstatus pengganas dan pakar pembuat bom, Zulkifli Hir atau Marwan, terbunuh dalam pertempuran itu yang turut mengorbankan 44 komando polis Filipina dan mencederakan 12 anggota yang lain.
Pertempuran berlaku ketika komando polis Filipina cuba menangkap Marwan di bandar Mamasapano yang dikuasai MILF pada 25 Januari lepas.