suria

Mesyuarat MPP Bermula

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berlangsung petang Ahad dengan dihadiri pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjadi tumpuan selepas gagal hadir pada mesyuarat terdahulu turut menyertainya kali ini.

Duduk sebaris dengan Hadi dalam bilik mesyuarat itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dua lagi pemimpin PAS dan DAP yang ketika ini dilihat bercakaran berhubung isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan, iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan rakan sejawatnya, Datuk Mustafa Ali kali pertama bertemu selepas masing-masing mengeluarkan kenyataan menerusi media berhubung pendirian masing-masing sebelum ini.

Mesyuarat  yang diadakan di Pejabat Agung PAS itu bermula kira-kira pukul 2.30 petang Ahad.

Kata Mustafa, mesyuarat itu bagi membincangkan langkah terbaik untuk memperkukuhkan parti itu.

Ia juga dilihat sebagai usaha untuk mempersiapkan Pakatan Rakyat menjelang keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat kedua Anwar yang juga penasihat PKR itu pada Selasa ini.


Artikel Lain