DENGKIL: Sebanyak 12,771 warga emas dan Orang Asli menerima lesen motosikal kelas B2 menerusi 35 program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang diadakan di seluruh negara, tahun lepas. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pada awal tahun ini pula sebanyak 1,988 orang berjaya mendapat lesen menjadikan jumlah keseluruhan 75,316 orang menerima manfaat sejak program SKSJ diperkenalkan pada 2009. "Kalau mereka mengambil lesen melalui institut memandu biasa mereka akan dikenakan sekurang-kurangnya RM400 tetapi di bawah program SKSJ mereka hanya dikenakan bayaran RM170. "Mereka kebanyakannya menggunakan motosikal untuk pergi kerja tetapi sukar nak dapatkan lesen sebab tak mampu atau tiada kemahiran komputer, jadi pegawai kita turun membantu dengan mengadakan ujian secara lisan dan bertulis," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian lesen memandu percubaan (P) kelas B2 kepada 434 warga emas dan masyarakat Orang Asli, di sini, Ahad. Menurutnya, program itu akan terus dilaksanakan terutama di kawasan luar bandar bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Katanya, JPJ akan melaksanakan tiga lagi program SKSJ di Selangor pada tahun ini iaitu di Kapar, Rawang dan Pulau Carey dengan sasaran 1,500 calon. SKSJ bertujuan membantu warga emas berumur 45 tahun ke atas dan Orang Asli berumur 21 tahun ke atas untuk mendapatkan lesen memandu percubaan (P) kelas B2 bagi menjalani kehidupan harian dan meningkatkan kesedaran berhubung keselamatan jalan raya.