Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Seri Hasan Malek berkata antara barangan tersebut termasuk ayam bersih standard yang dijual pada harga RM7.33 sekilogram Julai lepas kini boleh didapati dengan harga RM6.73 sekilogram.
Antara barangan yang turut mencatat penurunan adalah kepak ayam (18.25 peratus); limau mandarin (16.50 peratus); udang putih ternak (2.01 peratus); ubi kentang (6.17 peratus); beras cap rambutan Super Special Tempatan 5 peratus (0.12 peratus) dan bawang kecil merah import (China) (4.94 peratus).
Hasan berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap harga barangan dan caj bagi perkhidmatan kerana sebarang peningkatan harga akan memberi impak langsung ke atas kos sara hidup rakyat.
Mengulas mengenai mesyuarat itu yang turut dihadiri pengeluar, pemborong dan pengedar, Hasan berkata pertemuan berkala itu memberi kesan positif apabila terdapat pihak yang sedia menurunkan harga barangan.
Beliau memberikan contoh Pasar Raya Mydin yang sedia menurunkan harga bagi 50 jenis barangan di semua premis milik syarikat itu di seluruh negara mulai Jumaat ini.
Berikutan itu Hasan tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pertemuan sedemikian secara lebih kerap.