suria

Indeks Syariah Untuk Kesejahteraan Rakyat Malaysia

Najib menyampaikan Watikah Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah kepada Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, pada Majlis Perdana Ulama Umara 2015 dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia, di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, Selasa. Turut sama menyaksikan ialah (dari kiri) Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

PUTRAJAYA: Model Indeks Syariah Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada Selasa dilihat dapat menjadi mekanisme untuk memperbaiki dan menambah baik program untuk kesejahteraan rakyat negara ini.

Indeks syariah itu mencakupi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasana dan persekitaran serta sosial.

Bagi setiap bidang tersebut, ia meliputi penyempurnaan lima aspek dalam Maqasid Syariah atau matlamat syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, inisiatif yang dibuat bukan sekadar memfokuskan kepada program yang 'berjenamakan' Islam.

Namun katanya, ia seharusnya turut mengambil kira program yang bukan Islamik tetapi mempunyai nilai-nilai murni yang diamalkan Islam.

Sebagai contoh katanya, tiada Sekolah Kebangsaan Islam yang diperkenalkan kerajaan tetapi ia sememangnya menjadi tempat untuk anak-anak mempelajari ilmu yang juga sebahagian amalan dalam Islam.

"Indeks ini bertujuan memberi gambaran bahawa apa yang dilaksanakan kerajaan menepati lima Maqasid Syariah.

"Ia juga sudah tentu memberi manfaat kepada semua agama. Sebagai contoh dari aspek keluarga, dengan program-program yang dibuat oleh kerajaan, sudah pasti kita mahu keluarga yang harmoni dan tidak ada keluarga yang berpecah-belah, tidak mempunyai masalah sosial seperti terlibat dengan dadah.

"Ini bermakna ia merupakan program yang sudah pasti bukan sahaja untuk masyarakat Islam sahaja tetapi kepada seluruh masyarakat di negara ini," katanya.

Ditanya mengenai penjelasan kepada rakyat berhubung indeks syariah, Othman berkata pihaknya merancang untuk melakukannya bersama agensi berkaitan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara 2015 dan Pelancaran Indeks Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Indeks Syariah yang pertama seumpamanya di dunia itu.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat, indeks syariah itu sudah pasti akan melonjakkan nilai penarafan sesuatu program yang dilaksanakan.

Menurutnya, berdasarkan penarafan itu, muhasabah dapat dilakukan dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

"Inilah tanggungjawab yang semestinya dapat dimainkan semua pihak terutama yang diberi tugas melancarkan program indeks syariah ini.

"Tidak mustahil Malaysia akan memimpin dan mengetuai dalam penarafan seperti ini untuk memacu ke arah kegemilangan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang terutama perkhidmatan atau isu-isu yang berpaksikan kepada lima Maqasid Syariah (matlamat syariah)," katanya.

Artikel Lain