PUTRAJAYA: Pakatan parti pembangkang akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh 24 jam ini bagi menentukan ketua pembangkang baharu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu akan diputuskan secara bersama oleh pimpinan tertinggi parti itu bersama PAS dan DAP dalam mesyuarat khas yang sedang diatur. Azmin turut menolak andaian beliau diberi mandat oleh Anwar untuk menggantikan tempatnya sebagai ketua pembangkang. "Tidak, Anwar hanya pesan supaya pimpinan dan anggota parti teruskan perjuangan...hal berkaitan ketua pembangkang akan dibincangkan dalam mesyuarat yang sedang diatur untuk diadakan dalam tempoh 24 jam dari sekarang," katanya ketika ditemui media semasa keluar dari Bilik Bicara Mahkamah Persekutuan di sini, Selasa. Beliau ditanya sama ada Anwar memberi mandat itu kepadanya berikutan Anggota Parlimen Permatang Pauh itu dilihat berbisik sesuatu kepada Azmin selepas diputuskan bersalah. Anwar pada Selasa gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan. Dengan keputusan ini, Anwar, 67, hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000. Sementara itu, beberapa pemimpin utama pakatan parti pembangkang enggan mengulas berhubung keputusan mahkamah pada Selasa. "Hari ini saya tak mahu komen apa-apa," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ketika berjalan keluar dari Bilik Bicara bersama Ketua Penerangan parti itu Datuk Mahfuz Omar. Penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung parti itu juga enggan mengulas mengenai keputusan itu. Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, bersama anak-anaknya termasuk Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah, turut meninggal mahkamah tanpa bertemu dengan media.