suria

Penjara: Anwar Masih Dianggap Pemimpin Agung

Anwar (duduk di belakang) dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman lima tahun kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari.

PUTRAJAYA: Walau didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara, kepimpinan Pakatan Rakyat tetap meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kedudukan tinggi sehingga menggelarnya pemimpin agung.

Hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa  kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap ketua pembangkang itu bukan penghalang untuk dia diangkat sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, perjuangan selama ini akan diteruskan semua pimpinan Pakatan Rakyat dan penyokongnya.

"Dia tetap pemimpin agung kita. Apa bezanya di dalam atau di luar penjara?" katanya kepada pemberita di luar Istana Kehakiman selepas keputusan mengekalkan hukuman penjara terhadap Anwar diketahui.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, langkah seterusnya yang akan diambil oleh parti akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, beberapa mesyuarat dan pertemuan melibatkan pimpinan PKR akan diadakan selepas ini tetapi bukan untuk membincangkan tentang pengganti Anwar.

"Tak timbul perkara-perkara seperti itu (pengganti Anwar). Langkah seterusnya kena tunggu," jawabnya ringkas.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, keputusan yang diumumkan panel lima hakim tidak mengejutkan.

Katanya, apa yang mengejutkan apabila Mohd Saiful dilihat sebagai 'malaikat' oleh hakim dalam kes ini.

Pada Selasa, Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari dan Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Keputusan rayuan Anwar itu diumumkan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain