KLANG: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali layak menggantikan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, kata pakar akademik. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, melihat kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR, besar kemungkinan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak akan menggantikan mentornya, Anwar. "Pemimpin Pakatan Rakyat perlu duduk bersama dan berbincang tentang calon yang akan menggantikan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen dan berikutan ketegangan antara DAP dan PAS, ia kelihatan seperti Azmin (PKR) yang akan menjadi pilihan utama," kata Dr Mohamed Mustafa ketika dihubungi pada Selasa. Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut bersetuju dengan mengatakan kedudukan sebagai menteri besar turut akan memainkan peranan dalam membantu Azmin untuk mendapatkan jawatan tersebut. Beliau berkata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpengalaman sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen boleh bersaing untuk mengisi jawatan berkenaan. Berita selanjutnya menyusul.