suria

Tiada Siapa Dapat Menyamai Ayah - Noniana

Hazida menyiram air di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning, Seksyen 31 di Shah Alam, Khamis.

SHAH ALAM: Reda menerima suratan takdir, anak bongsu Allahyarham Datuk Hasbullah Awang mengakui tidak akan ada individu lain di dunia yang dapat menyamai sifat ayahnya yang terlalu baik.

"Sumpah, mati hidup balik pun saya tidak akan jumpa orang seperti ayah. Mungkin semua orang akan cakap begitu, tetapi bagi saya beliau insan yang terbaik.

"Beliau terlalu mengambil berat dalam semua perkara, mungkin kerana kami empat beradik semuanya perempuan," luah Noniana,33 tahun.

Allahyaraham Hasbullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pukul 12.20 tengah hari Khamis selepas mengalami komplikasi masalah jantung.

Menurut Noniana, ketika ayah tersayang menghembuskan nafas terakhir, kakaknya yang juga anak ketiga, Loliana, 34, berada di sisi, manakala beliau sedang mengikuti kursus ketika itu.

"Memang berita ini mengejutkan kami semua walaupun sudah dimaklumkan oleh doktor mengenai keadaannya," katanya segalanya bermula apabila ayahnya jatuh dan menjalani rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke IJN.

Noniana Hasbullah

Susulan itu, katanya, pihak keluarga bercadang melakukan pembedahan pintasan jantung, bagaimanapun doktor tidak mengizinkan kerana risiko tinggi.

"Kami semua reda di atas permergian ayah," jelasnya dalam keadaan sebak sambil menambah arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum meninggal dunia.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Datin Hazida Alang Ahmed,58, yang kelihatan tenang berkata, arwah mengadu sakit kaki selepas pulang mengerjakan umrah bulan lalu dan berpunca daripada komplikasi penyakit jantungnya.

"Walaupun tahu keadaan beliau di saat-saat akhir, tapi jauh di sudut hati saya masih mengharapkan dia sembuh," jelasnya ketika ditemui sebaik sahaja pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning selesai.

Hazida berkata, doktor di IJN memaklumkan Allahyarham mengalami serangan jantung dua hari sebelum ke hospital namun tidak disedarinya.

"Akibatnya dua saluran darahnya sudah mengeras dan pada hari berikutnya doktor memberitahu ketiga-ketiga saluran darahnya tidak berfungsi.

"Jadi memang pembedahan tidak boleh dilakukan sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir. Arwah pergi dengan tenang," katanya.

Dalam masa sama, Hazida juga menyifatkan suaminya seorang yang arwah seorang yang suka bekerja, merendah diri dan gemar membantu orang lain, lebih-lebih lagi berkaitan kerjanya.

"Kami sama-sama bekerja di RTM sebelum beliau bertukar ke tempat lain dan tahu perangainya yang suka menolong serta tidak kedekut ilmu," tambahnya.


Hasbullah Awang, Hazida, Noniana

Artikel Sebelum

Nik Aziz Meninggal Dunia

Artikel Lain