PERMATANG PAUH sudah sinonim dengan nama Anwar Ibrahim serta keluarganya. Dan nampaknya legasi itu akan diteruskan oleh anak perempuan keduanya, Nurul Nuha. Platform serta prasarana politik sudahpun disediakan untuknya. Hanya menunggu tuan yang punya badan untuk menyatakan 'Ya'. Khabarnya, di Permatang Pauh jentera PKR sudah bersiap sedia untuk menerima kedatangan Nurul Nuha dengan tangan yang terbuka. Adalah difahamkan yang mereka akan mengemukakan usul segera kepada Biro Politik PKR supaya Nurul Nuha dipilih sebagai ganti Anwar. Ia adalah pilihan yang natural kerana siapa lagi yang dilihat layak meneruskan legasi keluarga itu di Permatang Pauh kalau bukan Nuha. Anak lelaki Anwar, Ihsan tidak berminat langsung dengan dunia politik. Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lagi boleh mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Anwar kerana penalti yang dikenakan ke atasnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2008. Azizah dikenakan penalti itu kerana meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen tanpa sebab yang munasabah. Beliau melepaskannya bagi membolehkan Anwar kembali sebagai wakil rakyat. Memang Azizah bebas untuk melepaskan kerusinya itu tapi dia harus menanggung risiko iaitu tidak boleh kembali semula sebagai seorang ahli parlimen. Sebenarnya ikon Permatang Pauh selain Azizah dan Anwar ialah Nurul Izzah. Kelibatnya dirindui oleh orang Permatang Pauh. Orang Permatang Pauh mengenali dirinya sejak dia masih anak kecil lagi. Mereka berduyun-duyun bertandang ke Kuala Lumpur menaiki bas yang ditempah khas untuk menghadiri majlis kenduri perkahwinannya dahulu di Bukit Damansara. Dia adalah tokoh yang paling sesuai untuk mengambil alih tempat Anwar di Permatang Pauh. Malangnya, Nurul Izzah juga tidak layak bertanding di situ kerana dia sudahpun menjadi ahli Dewan Rakyat mewakili Lembah Pantai. Dia hanya boleh sekali lagi menjadi wakil rakyat mewakili kerusi dewan undangan negeri sahaja bukan parlimen. GENDANG DIPALU Jadi nampaknya Nurul Nuha tidak mempunyai pilihan melainkan turun ke Permatang Pauh sebagai calon PKR bertanding dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan sebaik sahaja SPR menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat memaklumkan tentang status kerusi parlimen kawasan tersebut nanti. Sebagai permulaan, momentum untuknya bergerak atas nama 'ahli politik' sepenuh masa dan yang terbaru dari kalangan keluarganya sudah pun dipalu. Pada Rabu, Nurul Nuha, 31, dilantik secara rasmi sebagai ikon 'Gerakan Membebaskan Anwar'. Dia menerimanya dengan tangan yang terbuka dan titisan air mata. Mereka yang dibelakang gerakan tersebut mengetahui dan memahami bahawa gerakan itu hanyalah gimik politik. Tetapi itu sudah memadai untuk mencetuskan pentas yang diperlukan oleh Nurul Nuha. Ia adalah tiket untuk Nuha bergerak ke seluruh negara untuk terus menghidupkan legasi politik yang ditinggalkan oleh bapanya dan juga langkah pertama ke alam sepenuh masa sebagai seorang politikus. Lagi pun Nuha tidak dibebankan dengan kerja sepenuh masa melainkan melakukan kerja-kerja dari rumah sebagai seorang pereka grafik 3-D. SEJARAH PANJANG Selama 33 tahun Anwar mendominasi Permatang Pauh sebagai tokoh politik yang tiada tandingan iaitu sejak mereka pertama kali memenangi kerusi tersebut pada tahun 1982 kemudian diikuti pada 1986, 1990, 1995, 2008 (pilihan raya kecil) dan 2013. Antara tahun 1999 sehingga 2008 kerusi tersebut diwakili oleh Wan Azizah. Sepanjang tempoh gandingan mantap suami-isteri ini mewakili kawasan parlimen berkenaan, hanya sekali mereka hampir-hampir tewas atau menang dengan majoriti yang sangat tipis iaitu 590 undi sahaja pada tahun 2004 apabila Wan Azizah ditentang oleh bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail. Pada 31 Julai 2008, Wan Azizah telah menghantar surat perletakan jawatannya sebagai ahli parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Anwar kembali mewakili kawasan tersebut semula dan juga untuk kembali sebagai ketua pembangkang di parlimen. Anwar yang kembali untuk kali kedua di Permatang Pauh selepas kes sodomi pertamanya selesai berjaya meraih 15,671 undi majoriti mengalahkan bekas ketua pemuda Umno Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah pada 2008. Arif pernah berkhidmat di bawah kepimpinan Anwar ketika Anwar menerajui Umno bahagian tersebut. Kemudian pada pilihan raya umum 2013, Anwar ditentang oleh bekas ketua pemuda Pas negeri, Dr Mazlan Ismail dan majoritinya berjaya dikurangkan kepada 11,721 undi sahaja. CALON Jika ditakdirkan Nuha diletakkan sebagai calon PKR di Permatang Pauh, Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN) di situ perlu memikirkan siapakah calon yang paling sesuai. Jika mereka memilih calon tempatan, orang itu mestilah anak tempatan yang dihormati dan tidak pernah tercemar oleh apa jua bebanan politik dan peribadi. Nurul Nuha berucap ketika membantu kempen pilihan raya mendiang Karpal Singh pada 2008. Jika calon itu calon tempatan yang sesuai, Umno dan BN punya peluang yang sama cerah dengan Nuha kerana calon mereka adalah anak tempatan. Sebaliknya jika calon mereka adalah calon paracut dari luar, pastikan calon itu seorang yang punya imej dan kalibar yang sama tanding dengan Nuha. Nuha walaupun miskin pengalaman tapi dia anak kepada tokoh yang punya legasi di Permatang Pauh. Barang diingat, PKR tidak pernah kehilangan Permatang Pauh kerana legasi tersebut. Jika itulah latarbelakangnya, tidak mungkin juga sekarang...