suria

Tun M Gesa Golongan Sederhana Bangkit Tentang Ekstremis

Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa golongan sederhana supaya bangkit bersuara menentang kumpulan ekstremis di negara ini.

Beliau menyuarakan pandangan itu kerana percaya majoriti rakyat di negara ini menolak fahaman ekstremis.

"Saya pernah katakan golongan sederhana lebih ramai daripada ekstremis tapi golongan tersebut (sederhana) tidak mengendahkan apa yang dikatakan kumpulan ekstremis hingga membuatkan ekstremis menguasai masyarakat.

"Oleh itu adalah penting bagi golongan sederhana untuk memastikan suara mereka didengar. Mereka perlu melakukannya (bersuara) untuk diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas berucap pada forum Dilema Malaysia.

Malah Dr Mahathir berkata, dirinya juga pernah dilabel sebagai ekstremis apabila mengkritik kenyataan kumpulan dengan fahaman berkenaan.

"Saya dikatakan seorang ekstremis apabila cuba melawan ekstremis lain tetapi saya ada sokongan semua pihak, Melayu, Cina dan India selama menjadi perdana menteri selama 22 tahun," katanya.

Menurut Dr Mahathir, label ekstremis itu pernah menyebabkan beliau kehilangan majoriti undi di kalangan pengundi Melayu berikutan insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ada orang mengecam saya, ada juga yang simpati. Orang Melayu pada waktu itu tidak menyokong Barisan Nasional kerana mereka kata saya diktator.

"Saya pernah hilang 300,000 undi kerana kes mata lebam itu. Tapi kebanyakan kaum Cina yang hampir bankrap (akibat krisis ekonomi) memberikan kemenangan dua pertiga kepada saya," katanya.

Ketika ditanya mengenai sokongannya terhadap Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dilabelkan ekstremis, Dr Mahathir berkata, beliau hanya akan menyokong badan bukan kerajaan itu (NGO) sekiranya Umno tidak berupaya lagi mempertahan hak orang Melayu.

"Bukan setiap masa... tetapi apabila Perkasa menjawab dakwaan melibatkan orang Melayu hanya kerana Umno tidak berupaya melindungi hak orang Melayu, baharu saya akan menyokong Perkasa," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tetap akan mengecam Perkasa sekiranya mereka bertindak keterlaluan.

"Jika mereka lakukan sesuatu yang ekstrem, saya tidak akan menyokong mereka," tegasnya.

Tun Mahathir, esktremise

Artikel Berikut

Artikel Lain