suria

Kad Pengenalan Pekebun Kecil Diperkenalkan

Mohd Shafie Apdal

PUTRAJAYA: Kad Pengenalan Pekebun Kecil (SIC) yang diperkenalkan untuk pekebun kecil berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan digunakan kerajaan dalam merancang pembangunan masyarakat luar bandar khususnya berkaitan pekebun kecil.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, SIC akan diedarkan kepada semua pekebun kecil secara berperingkat dan proses itu dijangka selesai Ogos depan.

Kad yang bakal memanfaatkan 437,773 pekebun kecil getah dan sawit di seluruh negara, mengandungi pangkalan data pekebun kecil seperti nama, alamat, jenis kebun dan tanaman, keluasan, masalah dan keperluan pemegang kad, katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan SIC itu dan menyampaikan watikah pelantikan kepada 372 Pemaju Masyarakat Risda (PMR) di Institut Kemajuan Desa (Infra) di Bangi dekat sini, Jumaat, beliau berkata SIC juga berfungsi sebagai kad rasmi pekebun kecil untuk transaksi berkaitan bantuan kerajaan melalui Risda.

"Selain memudahkan urusan pembayaran sesuatu bantuan kerajaan kepada mereka yang layak, inisiatif ini juga akan memudahkan bayaran khairat kematian dikeluarkan kepada pekebun yang meninggal dunia," katanya.

Mengenai PMR, Mohd Shafie berkata, mereka diminta memainkan peranan menyampaikan setiap perancangan kerajaan berkaitan pembangunan pekebun kecil kepada pekebun di bawah selian masing-masing, selain peranan utama sebagai pendorong dan pemudah cara membawa setiap permasalahan mereka kepada pihak berkenaan.

"Saya harap PMR ini dapat bantu jelaskan tentang sebarang pendekatan baharu yang diperkenalkan kerajaan berkaitan perusahaan getah dan kelapa sawit dan buat masa ini peranan mereka harus ditumpukan dalam memastikan setiap pekebun kecil yang terjejas banjir mendapat bantuan yang sepatutnya," katanya.

Dengan diberikan elaun sebanyak RM800 sebulan, setiap PMR akan membantu Risda dalam menyediakan profil pekebun kecil serta kawasan, mengenal pasti masalah komuniti pekebun kecil terutamanya berkaitan program pembangunan Risda dan memberi maklum balas untuk tindakan susulan.

PMR dipilih daalam kalangan pekebun kecil berusia antara 21 hingga 65 tahun, pengusaha kebun, bermastautin di kawasan jagaan serta tidak memegang jawatan lain yang dibayar gaji atau elaun.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan Risda berupa sebuah van jenazah kepada Masjid Jami'llhuda, Kampung Melayu, Ampang, Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain