suria

Mayat Pengawai Keselamatan Ditemui Dalam Tangki Septik

RAWANG: Seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipercayai dibunuh oleh rakan sekerjanya dan dibuang ke dalam tangki septik di sebuah kilang di Taman Industri Masala di sini.

Polis berkata mangsa, Dinesh Kumar Rai, 27, dan suspek memulakan syif mereka di kilang besi keluli itu kira-kira pukul 7 malam Rabu.

Difahamkan hanya mereka berdua berada di kawasan tersebut pada waktu itu.

Mereka bekerja di kilang tersebut yang dikosongkan sejak 2013, bermula awal bulan ini dan tinggal di sebuah flat di Jalan Rawang Perdana.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, suspek pulang ke rumahnya kira-kira pukul 4.30 pagi dalam keadaan terburu-buru seperti yang digambarkan rakan sebiliknya Dal Bahadur Gurung.

"Dia berkata pakaian suspek berlumuran darah dan tangannya berbalut. Suspek juga dilihat membungkus barang-barangnya.

"Ketika Dal Bahadur bertanya dimana Dinesh Kumar, suspek berkata mangsa dan empat rakan menyerangnya. Suspek juga berkata dia terpaksa melarikan diri kerana takut," katanya.

Dal Bahadur menghubungi majikan mereka yang kemudiannya mencari Dinesh Kumar di sekitar kawasan kilang tersebut sebelum menjumpai mayatnya di tangki septik kira-kira 70 kilometer dari pondok pengawal kilang tersebut.

Ali berkata Dinesh Kumar dijerut di leher menggunakan tali nilon dan ditikam di belakang kepalanya.

Badan mangsa juga terdapat kesan calar dipercayai akibat diseret.

Anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan mayat Dinesh Kumar pada pukul 8 malam.

Mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

"Kami sedang memburu suspek yang menghilangkan diri sejak Khamis. Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh," katanya.
mayat, Nepal, kes bunuh

Artikel Lain