suria

Kit Siang Akui Pakatan Rakyat Hadapi Krisis

Lim Kit Siang.
ALOR SETAR: Mengakui bahawa Pakatan Rakyat menghadapi kemelut dalaman, veteran DAP Lim Kit Siang menggesa ahli ketiga-tiga parti komponen itu untuk mengetepikan perbezaan pendapat bagi mempertahankan hubungan lapan tahun yang terbina antara mereka.

"Saya mencadangkan ketepikan apa sahaja yang mendapat bantahan daripada ketiga-tiga parti sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Sesiapa sahaja tahu Pakatan Rakyat berdepan masalah besar dan kita jangan nafikannya.

"Semua parti (PR) harus mematuhi prinsip (PR) yang berpegang kepada dasar bersama dan mengikut konsensus sebagai satu pasukan," kata Lim kepada pemberita selepas bertemu peniaga dan pembeli di pasar Simpang Kuala di sini.

Ketika ditanya sama ada perbezaan pendapat itu tertumpu kepada isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan hukum hudud di Kelantan, Lim berkata sekiranya ketiga-tiga parti - DAP, PKR dan PAS - tidak bersetuju, ' jadi mereka mesti komited untuk mengetepikan isu tersebut.

"Mari kita pertahankan hubungan yang terbina selama lapan tahun ini dan ketepikan perbezaan pendapat dengan memberi tumpuan kepada dua dasar bersama," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pemimpin parti seharusnya kembali kepada asas dan mengaplikasikan rahsia kemenangan pada PRU 2008 dan 2013.

"Kita mesti membina pakatan yang lebih kukuh untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika mengulas masa depan Pakatan Rakyat selepas Ketua Pembangkang menghadapi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Lim Kit Siang, DAP, Pakatan Rakyat

Artikel Lain