PETALING JAYA: Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat, Mejar Zaidi Ahmad akhirnya membuat keputusan untuk menyertai PAS, lapor beberapa portal berita. Zaidi, yang sebelum ini pernah mengumumkan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat selepas dia dipecat, berkata dia memilih PAS kerana parti itu lebih dekat dengan Islam. Zaidi juga dilaporkan berkata dia berharap dapat memainkan peranan untuk menyatukan Pakatan Rakyat yang dilihat berhadapan dengan banyak krisis dalaman lewat kebelakangan ini. "Saya akan cuba memainkan peranan untuk menyatakan Pakatan, terutamanya ketika hendak menghadapi pilihan raya umum," katanya yang dipetik sebagai berkata. Beliau dilaporkan berkata Pakatan sedang berhadapan dengan kepayahan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim dipenjarakan, namun beliau berharap apa pemimpin baharu yang dapat menyatukan ketiga-tiga parti. Pada 12 Januari lalu Mejar Zaidi didapati bersalah di Mahkamah Tentera di atas dua dakwaan melanggar protokol semasa mendedahkan masalah dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum Mei 2013 dan dihukum buang kerja daripada perkhidmatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.