KOTA KINABALU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan sembilan lelaki warga Pakistan dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah di Kampung Air Hujung, Semporna, Jumaat lepas. Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun, dalam satu kenyataan di sini pada Ahad, berkata kesemua mereka diberkas dalam satu operasi khas. "Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota keselamatan ESScom menyerbu ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air dan menahan lapan warga Pakistan, dan seorang lagi ditahan berhampiran jalan ke premis itu. "Mereka dibawa ke ibu pejabat polis Semporna sebelum dihantar ke Jabatan Imigresen dan hasil siasatan menunjukkan, tujuh daripada mereka mempunyai masalah dokumen perjalanan," katanya. Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jabatan Imigresen Semporna Habib Mohd Rafiee yang mengesahkan kejadian tersebut berkata tujuh warga Pakistan itu berumur antara 23 dan 41 tahun. Habib berkata lima daripada mereka didapati tinggal lebih masa di Sabah, manakala dua yang lain masing-masing ditahan kerana tidak memiliki pas atau menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS). "Warga asing itu dipercayai berada di sini (Sabah) antara lapan bulan dan satu tahun setengah," katanya. Jabatan Imigresen akan merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum mengambil tindakan selanjutnya, termasuk menghantar pulang warga Pakistan itu ke negara asal mereka, kata Habib.