suria

Malaysia Di Ranking Ke-9 Dunia Destinasi Pilihan Melanjutkan Pengajian

- Gambar hiasan
KUANTAN: Malaysia menduduki tangga kesembilan dalam senarai destinasi pilihan di dunia bagi pelajar antarabangsa untuk meneruskan pengajian mereka.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara adalah berkualiti dan setanding dengan negara maju yang lain.

"Ranking universiti kita juga adalah lebih baik. 11 fakulti berada di antara 100 fakulti terbaik dunia, seperti Universiti Sains Malaysia, di mana Fakulti Sains dan Alam Sekitarnya berada di kedudukan ke-28, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia di tempat ke-54 dan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya di tempat ke-83.

"Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sambutan yang diperolehi daripada 135,000 pelajar asing meletakkan kita sebagai destinasi pilihan nombor sembilan di dunia untuk melanjutkan pelajaran," katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Kebangsaan di sini, Sabtu.

Idris berkata selain pendidikan berkualiti, satu lagi faktor yang menarik perhatian pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia adalah kos yang rendah.

"Bukan sahaja pelajar dari China, atau negara-negara Asia lain seperti Indonesia, tetapi mereka dari Australia dan Jerman juga datang untuk belajar di institusi pengajian tinggi kita," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain