suria

Pembunuhan Warga Mesir: Sisi Beri Amaran Kepada IS

Al-Sisi (tida dari kanan) ketika melawat pangkalan tentera di Ismailia awal bulan ini.

KAHERAH: Tindakan kumpulan militan Negara Islam (IS) menyiarkan rakaman video pihaknya memenggal kepala 21 warga Mesir beragama Kristian di Libya menimbulkan kemarahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Rakaman itu disiarkan menerusi Twitter yang dimuat naik dalam laman web yang menyokong perjuangan IS pada Ahad itu mendorong al-Sisi memberi amaran bahawa negaranya akan bertindak balas terhadap pembunuhan itu.

Bercakap menerusi rangkaian televisyen nasional negaranya, presiden itu berkata, Kaherah akan melaksanakan langkah pada masa yang sesuai bagi menuntut pembunuhan itu.

Agensi berita Mesir, Mena melaporkan jurucakap Gereja Koptik mengesahkan semua 21 warga Mesir Kristian yang dipercayai ditahan IS telah mati.

Tindakan IS itu akan menyukarkan al-Sisi untuk menyelesaikan isu keselamatan berikutan ancaman militan di Libya yang semakin meruncing.

Sebelum ini, Mesir menafikan laporan bahawa pihaknya mengambil bahagian bersama rakan sekutunya, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dalam serangan terhadap kumpulan pengganas yang berpangkalan di Libya.

Menerusi video yang dirakamkan berdekatan Tripoli itu, tahanan berbaju oren itu dipaksa melutut dihadapan militan berpakaian hitam sebelum kepala mereka dipenggal.

Video lima minit itu juga menunjukkan seorang militan sambil memegang pisau berkata: "Doakan keselamatan pejuang anda."

Sejak 2011, ribuan rakyat Mesir yang terdesak untuk mendapatkan pekerjaan berhijrah ke Libya walaupun kerajaannya menasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

Televisyen negara itu juga melaporkan selepas berbincang dengan komander tentera negaranya berhubung pembunuhan kejam itu, al-Sisi mengumumkan negara itu berkabung tujuh hari.

al-Sisi, Libya, IS, Mesir

Artikel Lain