PETALING JAYA: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih mula beroperasi awal pagi Isnin selepas ditutup pada Ahad berikutan masalah pencemaran. Pengurus Besar Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas), Khairi Selamat berkata, ia beroperasi semula pada pukul 3 pagi. Bagaimanapun, katanya, pengguna di beberapa kawasan akan berhadapan masalah bekalan air. Operasi loji itu terganggu berikutan tahap amonia dan mangan di Sungai Semenyih didapati melebihi tahap dibenarkan pada Ahad. Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, pihaknya akan segera mengeluarkan kenyataan berhubung situasi itu. Sehubungan itu, Syabas menasihatkan pengguna supaya meneliti perkembangan terkini gangguan bekalan air menerusi Twitter dan akaun Facebook Syabas atau menerusi MySyabasapp melalui Apple atau peranti Android.