suria

Bukit Aman Siasat Video 'Isis Malaysia 69'

Paparan skrin video 'Isis Malaysia 69'
PETALING JAYA: Polis Bukit Aman pada Rabu sedang menyiasat sebuah video yang menunjukkan empat lelaki bertopeng mengeluarkan amaran bahawa mereka akan meletupkan mercun di mahkamah di Malaysia sebagai tanda ketidakpercayaan terhadap sistem kehakiman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata jabatan itu telah mula menjalankan siasatan terhadap video tersebut yang dikatakan mempunyai bentuk ancaman seperti yang dilakukan kumpulan pengganas negara Islam (IS).

"Kami menyedari tentang video ini dan kami mengambilnya sebagai sesuatu yang serius.

"Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Mortadza berkata Bukit Aman akan menilai situasi selanjutnya dan membuat persediaan keselamatan yang sesuai.

Klip video itu menjadi viral seminggu selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah meliwat bekas pembantunya dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini.

Menerusi video berdurasi satu minit yang dimuat naik dalam akaun Youtube 'Isis Malaysia 69' pada Ahad, salah seorang daripada empat lelaki mengisytiharkan bahawa tindakan mereka itu sebagai memberi isyarat awal protes mereka terhadap sistem demokrasi yang dikatakan telah rosak.

Salah seorang daripada mereka juga dilihat mengacukan koktel Molotov manakala tiga botol bom tersebut disusun di atas meja di hadapan mereka sambil bendera Malaysia telah digantung di bahagian belakang.

Walaupun tidak menyatakan apa yang telah mencetuskan kemarahan mereka, salah seorang daripada empat lelaki mengisytiharkan bahawa tindakan mereka sebagi memberi isyarat awal protes mereka terhadap kerosakan demokrasi.

"Kepada mana-mana parti yang telah terlalu lama memerintah, kami Anak Muda Malaysia tahun 2015, dengan ini mengumumkan hasil manipulasi tipu helah selama ini, menggunakan demokrasi, hari ini kami mengisytiharkan kami tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi. 
"Andalah yang membentuk kami. Kami terbentuk hasil dari tangan-tangan anda. Untuk permulaan, sesuai dengan kemampuan permulaan kami terhadap ketidakpercayaan kepada demokrasi ini, kami akan melakukan satu aksi bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah pada 18 Februari 2015 jam 11.30 malam.

"Kami akan membakar mercun di mahkamah simbolik kepada kehancuran sebahagian alat dalam sistem demokrasi. Kami baru bermula dan akan pergi lebih jauh. Semakin rosak demokrasi yang anda musnahkan, semakin berkembang dan jauh cara kami menentang," kata seorang lelaki yang duduk sambil memegang gambar pelakon Nra Danish.

Bagaimanapun mereka tidak menyatakan mahkamah yang akan menjadi sasaran mereka.

Mereka kemudian mengakhiri amaran mereka dengan perkataan kesat.

Artikel Berikut

Artikel Lain