suria

30 Helai Baju Korporat Anggota Polis Dicuri

Pakaian korporat tidak rasmi anggota polis yang dicuri.

SUBANG JAYA: Sebanyak 30 helai baju anggota polis yang lengkap dengan nama pegawai-pegawai berpangkat tinggi telah dicuri di sebuah kedai dobi.

Pihak polis yang menyiasat kes kecurian ini bimbang sekiranya baju-baju itu akan disalah gunakan dan memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Walaupun pakaian yang berwarna kelabu beserta garisan hitam itu bukanlah pakaian rasmi anggota polis, namun ia tetap mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama jawatan dan nama pegawai.

Pemilik kedai dobi yang terletak di Jalan Musytari Am di Seksyen U5, Rohana Muhd Bakri berkata, PDRM merupakan pelanggan tetap kedainya dan telah menghantar kira-kira 30 'baju korporat' untuk dicuci bulan ini.

"Kami tidak pernah memaparkan pakaian itu dan disimpan di dalam beg.

"Pada pagi 8 Februari lalu, pekerja saya datang membuka kedai dan mendapati pintu kami telah diumpil. Tiada barangan lain yang diambil kecuali beg berisi baju polis itu sahaja.

"Saya sedar pakaian itu boleh disalah gunakan, jadi saya terus membuat laporan polis ," katanya kepada The Star.

Rohana berkata, beg yang berisi baju serta jaket itu tertera nama-nama pegawai polis berpangkat tinggi dari Bukit Aman,Subang Jaya, Kajang dan Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supritendan Junaidi Bujang berkata, suspek mungkin menggunakan baju-baju itu untuk menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan jenayah.

Beliau berkata, walaupun ia bukan pakaian rasmi polis, orang ramai mungkin tidak sedar jika ada pihak yang menyamar sebagai polis dengan memakai baju itu.

Baju-baju itu digunakan oleh pegawai-pegawai semasa program komuniti.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meminta mereka menunjukkan kad pengenalan polis sebagai pengesahan. Kami semua mempunyai kad itu.

"Jika mereka enggan berbuat demikian, kamu tidak perlu mengikut permintaan mereka. Buat laporan polis jika keadaan itu berlaku," katanya sambil sambil menambah ada menemui bukti cap jari di tempat kejadian dan polis sedang mengenal pasti suspek.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel Berikut

Artikel Lain