PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan aplikasi Kalkulator Potongan Cukai Bulanan (PCB), sistem sokongan untuk memudahkan pembayar cukai membuat kiraan bagi menentukan sama ada jumlah PCB untuk tempoh setahun boleh dianggap sebagai cukai muktamad.
Menurut Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim, sistem yang disediakan menerusi laman web LHDN itu dibangunkan sejak 2009 bukan sahaja menjimatkan masa pembayar cukai malah pengiraan boleh dilakukan pada bila-bila masa.
"Dengan adanya sistem ini, pembayar cukai yang sudah terima borang cukai digalakkan untuk membuat semakan pengiraan pemotongan PCB yang dibuat oleh majikan," katanya.
Menerusi sistem itu, Masrun berkata, pembayar cukai hanya perlu memasukkan maklumat lengkap yang diminta untuk memudahkan semakan.
"Selepas itu, baharulah mereka boleh buat keputusan awal sama ada perlu kemukakan borang nyata cukai pendapatan kepada LHDN atau tidak," katanya.
Malah, katanya, pembayar cukai boleh mengetahui sama ada kadar PCB yang dibayar cukup untuk menampung jumlah cukai bagi taksiran tahun 2014 atau terdapat lebihan pemotongan bagi tahun itu.
"Pengguna sistem e-Filing boleh menghantar borang cukai mereka bermula 1 Mac depan sekiranya terdapat lebihan pemotongan. Mereka juga ada tambahan masa 15 hari dari tarikh akhir untuk kemukakan borang tersebut," katanya.
Beliau berkata, kaedah PCB sebagai cukai muktamad ini akan digunapakai terhadap individu makan gaji dan tafsiran cukai dibuat secara berasingan bagi individu yang telah berkahwin.