TAPAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menempatkan 1,800 anggota dan pegawainya di 128 lokasi di seluruh negara yang dikenal pasti sebagai laluan berbahaya, jalan utama, jalan persekutuan dan jalan negeri sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina. Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi meningkatkan 'perception of being caught' (POBC) (persepsi ditangkap melakukan kesalahan) di kalangan pengguna jalan raya. "Dengan konsep POBC ini, pengguna jalan raya tengok ada pegawai yang beruniform bertugas di situ maka perasaan mereka dipantau dan diperhatikan oleh anggota penguatkuasa akan jadi lebih tinggi. "Kita akan ambil tindakan kepada pengguna jalan raya yang langgar peraturan," katanya selepas hadir pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di sini Selasa. Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Karpawi. Ismail berkata bagi tujuan itu juga, pihaknya telah menggerakkan seramai 500 anggota Skuad Muda Satu JPJ (SM1J) bagi membantu anggota dan pegawai JPJ secara bergilir-gilir di 14 kawasan R and R seluruh negara. "JPJ juga telah menempatkan kakitangannya di 29 buah terminal bas di seluruh negara bagi memantau keadaan bas dan pemandu bas. Kita juga telah membuat pemeriksaan awal di 82 depoh seluruh negara khususnya kepada kenderaan bas-bas ekspres," katanya. Katanya, kempen ini telah dilaksanakan sejak 12 Februari lepas hingga 27 Februari. Dalam pada itu, Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus) Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata pihaknya menjangkakan sebanyak 1.5 juta pengguna jalan raya akan menggunakan laluan Plus terutamanya pada waktu kemuncak.