KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 2 April untuk menyampaikan keputusan terhadap permohonan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan pelajar lelaki disleksia berkaitan kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Hakim Datuk Rosnaini Saub menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan dan Zureen Elina Mohd Dom, yang mewakili kerajaan dan Lembaga Peperiksaan, serta peguam V. Rajadevan yang mewakili pelajar terbabit. Pada 19 November tahun lepas, Lembaga Peperiksaan dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan, memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman oleh K. Mangala Bhavani, ibu kepada Ananda Krishnan Menon, 13, selaku plaintif, atas alasan saman itu tidak menyatakan sebab yang munasabah berhubung tindakan saman itu selain untuk memalukan dan memprejudiskan defendan serta menyalahgunakan proses mahkamah. Pada 13 Oktober tahun lalu, ibu pelajar terbabit memfailkan saman bagi pihak anak lelakinya dengan mendakwa defendan cuai semasa mengendalikan peperiksaan UPSR tahun lalu, menyebabkan anak lelakinya terpaksa menduduki semula beberapa kertas peperiksaan. Dalam pernyataan tuntutan, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 itu mendakwa defendan gagal melaksanakan sistem keselamatan sehingga menyebabkan kertas-kertas soalan dibocorkan. Ananda Krishnan mendakwa defendan juga gagal menyelia para kakitangan dan ejennya daripada bermulanya proses sehinggalah kepada pengagihan kertas peperiksaan bagi mengelakkan pembocoran. Peperiksaan itu pada awalnya dijadual dari 9 hingga 11 September tetapi para pelajar terpaksa menduduki semula kertas Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil pada 30 September dan 9 Oktober berikutan pembocoran itu. Ananda Krishnan berkata sebagai seorang disleksia dengan keperluan khas, beliau menanggung tekanan emosi, kesedihan, kekecewaan dan kehilangan semangat untuk menduduki semula kertas. Plaintif menuntut ganti rugi am dan khas serta kos. Sementara kedua-dua defendan dalam hujah balas yang difailkan pada 3 Disember tahun lalu, berkata mereka mengetahui kebocoran Kertas 1 dan 2 Bahasa Inggeris melalui laporan akhbar yang menunjukkan soalan-soalan yang sama dengan soalan-soalan sebenar. Siasatan mendedahkan bahawa perkara tersebut benar dan lembaga membatalkan kertas-kertas terbabit serta mengarahkan para pelajar menduduki semula kertas berkenaan. Defendan juga menyatakan pembatalan kertas Bahasa Inggeris dan Matematik adalah mengikut Peraturan 9 Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) Peraturan 1997.