NILAI: Mayat seorang wanita yang sedang mereput ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Mantin, dekat sini petang Isnin. Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning berkata mayat wanita ituyang berpakaian kemeja-T berwarna putih dan berseluar panjang berwarna coklat ditemui di kawasan berkenaan pada 6.45 petang. Katanya mayat Norini Sofian, 58, dijumpai telah membengkak dan pergelangan tangan kiri sudah tiada disyaki dimakan binatang. "Barang kemas didapati tidak hilang. Terdapat seutas cincin di sebelah kiri mayat (atas tanah)," katanya pada Selasa. Katanya siasatan awal mendapati kes ini mempunyai persamaan dengan kes kehilangan seorang wanita yang mengalami penyakit saraf hilang selepas keluar dari rumah pada 11 Februari lepas. "Pakaian yang dipakai oleh mangsa seperti dalam laporan ketika dia hilang adalah sama iaitu baju kemeja-T berwarna putih dan berseluar panjang berwarna coklat," katanya. Abdullah berkata anggota forensik tidak dapat membuat sebarang pemeriksaan lanjut disebabkan keadaan mayat yang agak reput. Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.