BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini membebaskan 26 suspek yang ditahan reman sehari untuk membantu siasatan kes pembunuhan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri. Mangsa, Datuk Seri Law Yeong Chow diculik di sini dan kemudiannya ditemui mati dibunuh. Semua suspek dibebaskan pada kira-kira pukul 7 pagi Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai di Bandar Perda. Pada Selasa, polis menahan sekumpulan suspek terbabit yang berusia antara 20 dan 50 tahun di rumah mereka dalam serbuan berasingan. Mereka direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar mengeluarkan perintah reman itu. Pada 13 Januari, mangsa dilaporkan hilang di Bukit Tengah, Juru dekat sini. Ahli perniagaan itu kali terakhir dilihat keluar dari pusat refleksologi di sini sebelum beberapa individu yang menaiki dua kenderaan menariknya masuk ke dalam salah sebuah kereta dan memecut meninggalkan kawasan itu. Siasatan polis mendapati, dua kereta dengan nombor pendaftaran palsu ditemui di Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.