suria

BN Perlu Bertanding Di Permatang Pauh Tetapi Tidak Di Chempaka

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh tetapi tidak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, ketika usaha untuk pemulihan banjir sedang giat dijalankan di Kelantan, adalah lebih sesuai jika BN memberi tumpuan terhadap perkara itu berbanding bertanding pada PRK kerusi Chempaka.

Bagaimanapun, katanya, parti itu perlu bertanding di Permatang Pauh untuk merampas kerusi itu daripada PKR.

"Banyak lagi rumah yang musnah dan jambatan yang belum dibina semula di Kelantan.

"Bantuan banjir juga belum disampaikan sepenuhnya kepada mangsa.

"Saya rasa tidak sesuai untuk Umno memikirkan hal politik di Kelantan kerana kita sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menangani masalah banjir.

"Bagaimanapun, kita patut bertanding di Permatang Pauh kerana kita mahu menguasai kerusi itu dan menggantikan pesaing politik yang dipenjarakan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu, manakala kekosongan di Permatang Pauh pula seiring keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesalahan kes liwat keduanya juga minggu lalu.







BN, Permatang Pauh, Chempaka, Ahmad Maslan, PRK

Artikel Lain