KUALA LUMPUR: Gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang telefon bimbit yang menjadi viral di media sosial merupakan gambar beliau semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 10 Februari lepas, bukannya ketika di Mahkamah Tinggi di sini, Selasa. Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Supri Hashim berkata, ketika itu Anwar masih seorang awam yang bebas dan masih di luar kawalan pihak penjara. "Pemeriksaan dan kawalan pengiringan secara dekat dan ketat mendapati tiada telefon diberi atau dibawa oleh Anwar sepanjang beliau dibawa ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta. "Adalah ditegaskan bahawa tatacara pengiringan dan kawalan ke atas Anwar adalah selaras dengan ketetapan Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu. Baru-baru ini telah tersebar gambar Anwar di laman sosial yang mempertikaikan kehadiran beliau di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, semalam, untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkannya terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam keadaan tidak bergari, memegang telefon bimbit dan memakai pakaian sendiri. Semalam, Anwar sedang menjalani hukuman penjara, hadir di Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan olehnya terhadap Anifah. Mengenai pakaian, Supri berkata, setiap banduan yang dibawa untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah dibolehkan memakai pakaian sendiri kecuali jika banduan berkenaan tidak ada pakaian atau tidak mempunyai pakaian sendiri yang bersesuaian. "Ketika dibawa ke mahkamah Jalan Duta, Anwar memakai pakaian sendiri, kemeja lengan panjang berwarna kebiru-biruan, manakala gambar yang diviralkan di media sosial adalah pakaian berwarna lain. Supri berkata, berhubung isu gari pula, banduan yang dibawa ke luar dari penjara tidak semestinya bergari seperti ketika banduan dibawa menghadiri perbicaraan. "Prosedur ini dilaksanakan kepada semua banduan dan bukan hanya ke atas Anwar sahaja. Prosedur sama diguna pakai ketika membawa Anwar ke mahkamah. Gari digunakan ke atas banduan berisiko, cuba melarikan diri, berpotensi mencederakan diri atau orang lain.