Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak Hasrin Hasbi berkata mayat Muhammad Farid Hussin, 35, dari Kuala Gula ditemui pada 8.20 pagi manakala mayat warga Indonesia Patahhul Karim, 27, ditemui pada 10.34 pagi tadi.
"Kedua-dua mayat ditemui terapung dengan mayat Muhammad Farid ditemui di perairan menghala utara manakala mayat Patahhul arah ke selatan," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.
Mayat mereka dibawa ke Hospital Parit Puntar untuk bedah siasat.
"Operasi dijalankan selama 24 jam dan sebanyak lima bot digunakan untuk mencari mangsa," katanya.
Semalam, pihak bomba menerima maklumat mengenai tiga daripada empat bot nelayan terbalik pada 7.40 pagi.
Ketika kejadian, nelayan terbabit sedang memunggah pukat dan angin kuat menyebabkan bot mereka dipukul ombak sebelum terbalik.
Empat bot berkenaan dinaiki enam nelayan tetapi dua daripada mereka lemas.