suria

Gadis IS Dibiayai Lelaki KL - Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki dalam perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dibiayai seorang lelaki di bandaraya ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal mendedahkan gadis berasal dari Muar, Johor itu menerima kira-kira RM2,000 daripada lelaki berkenaan untuk menempuh perjalanan ke negara bergolak itu.

"Dia terima RM2,000, tiket kapal terbang dan dalam perjalanan untuk meninggalkan negara ini dengan alasan melanjutkan pengajian di Mesir.

"Kami dalam proses untuk mengenal pasti pembiaya terbabit," katanya menerusi temubual pada Jumaat.

Tambah Ayob, Bukit Aman juga menyiasat sama ada lelaki berkenaan mempunyai maklumat berkaitan agenda IS dan menyokong perjuangan kumpulan pengganas itu.

Beliau berkata, pihaknya juga cuba untuk mengesahkan sama ada gadis berkenaan turut mendapat tajaan lain dan memastikan lelaki itu turut membiayai bakal militan lain.

"Gadis itu terpengaruh untuk menyertai IS November lalu selepas berhubung dengan anggota kumpulan itu menerusi Facebook.

"Kami juga cuba untuk mengenal pasti rakyat Malaysia yang bakal dikahwininya di Mesir. Kami mahu memastikan kesahihan perkara ini atau ia hanya untuk menutup cerita sebenar pemergiannya ke sana," katanya.

Ketika ini, gadis itu ditahan di Pusat Tahanan Juvana di Jinjang, Selangor.

Ayob berkata, keseluruhannya tujuh wanita Malaysia telah ke Syria, manakala tujuh lain ditahan sebelum berlepas ke negara itu.

Gadis belasan tahun itu ditahan pada 7.30 malam, Selasa sebelum menaiki pesawat ke Kaherah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Remaja itu dikatakan merancang untuk menikahi pelajar lelaki berusia 22 tahun di Kaherah sebelum kedua-duanya ke Istanbul dan meneruskan perjalanan ke Syria.

Sumber risikan berkata, bakal suami remaja itu adalah penuntut di Universiti Al-Azhar di Kaherah dan gadis yang menuntut di sekolah tahfiz di Shah Alam itu merangka  perjalanannya ke Kaherah tanpa pengetahuan keluarganya.

Bapa saudara remaja perempuan itu memberitahu Bernama, anak saudaranya itu dalam perjalanan untuk melanjutkan pelajaran di sekolah agama.

"Saya tak tahu anak saudara saya ditahan sehingga anda (wartawan) memberitahu saya mengenainya. Hubungannya dengan keluarga baik, malahan dia rapat dengan rakan di sekolahnya.

"Dia anak sulung daripada tiga beradik dan ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu," katanya yang berusia 52 tahun itu.

Penahanan gadis itu menjadikan jumlah tahanan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas kepada 68 orang sejak Februari 2013.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan militan digesa menghubungi balai polis berhampiran atau bahagian anti pengganas di talian 03-22667010 atau 011-21046850 atau emel ke [email protected]


Artikel Lain