suria

Petronas Peruntuk RM2.1 Bilion Kontrak Tahunan Untuk Sarawak

- Gambar hiasan
KUCHING: Petronas bersetuju memperuntukkan RM2.1 bilion kontrak minyak dan gas  secara eksklusif kepada kontraktor yang berpangkalan di Sarawak setiap tahun.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang mendedahkan perkara ini berkata, ia adalah salah satu hasil yang dicapai dalam rundingan yang masih berjalan di antara Sarawak, kerajaan pusat dan syarikat minyak negara bagi negeri ini mendapatkan lebih royalti minyak.

Kim Shin menyifatkannya sebagai 'rahmat' kepada ekonomi negeri dan mengaitkannya dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mengambil pendirian tegas terhadap rundingan perjanjian ini yang tidak berhasil selama beberapa dekad.

"Ia adalah kerana bantahannya yang tegas ke atas royalti minyak. Beliau meletakkan petisyen yang sangat kuat kepada Petronas untuk memberikan lebih banyak royalti atau faedah lain kepada Sarawak.

"Sebagai contoh, Petronas kini telah menyatakan persetujuan dalam beberapa perkara, seperti, minimum kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada syarikat Sarawak," kata Kim Shin di sini.

"Selain itu, Petronas akan memberikan lebih banyak saham syarikat-syarikat subsidiari, yang bermaksud Sarawak akan mendapat lebih manfaat.

"Selama ini, syarikat-syarikat dari Sarawak hanyalah sub-kontraktor. Kontraktor utama datang dari luar. Kebanyakan syarikat kita telah berkecimpung dalam industri minyak dan gas lebih dari 100 tahun. Kita paling banyak pengalaman."

Kim Shin berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Pada Januari, Ketua Menteri berkata antara permintaan lain oleh Sarawak adalah supaya Petronas membantu membina lebih banyak kolej teknikal dan kampus cawangan di negeri ini.

Tahun lepas, dalam tempoh seminggu selepas mengangkat sumpah, Adenan, dalam satu temubual eksklusif dengan The Star berkata bahawa kadar royalti minyak dan gas sebanyak lima peratus untuk Sarawak daripada kerajaan Persekutuan tidak mencukupi.

Selepas itu, Dewan Undangan Negeri meluluskan usul mendesak kerajaan Persekutuan memberikan lebih manfaat minyak dan gas.

Usul itu disokong oleh semua wakil rakyat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
kontrak minyak, kontrak Petronas

Artikel Lain