PETALING JAYA: MCA menafikan bahawa waris penumpang Cina penerbangan MH370 tidak dibenarkan masuk ke Wisma MCA semasa majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran parti itu pada Khamis. Dalam satu kenyataan pada Sabtu, MCA berkata ketibaan keluarga penumpang itu disambut mesra sebaik sahaja mendapat tahu mereka berkumpul di luar. "Kakitangan kami bercakap dengan wakil mereka yang bernama Ms Kelly, yang menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Presiden MCA Datuk Sri Liow Tiong Lai. "Bagaimanapun, apabila waris tersebut sampai di pintu masuk Wisma MCA, mereka enggan masuk. Seseorang bercakap dengan kakitangan kami dalam loghat pekat yang sukar untuk difahami. "Cik Kelly menterjemahkan komen-komen mereka terhadap kerajaan dan Malaysia Airlines. Mereka enggan masuk kerana takut berlaku situasi yang disebut sebagai 'terputus komunikasi' dan kemudian terus berdiri di luar bangunan itu. "Apabila ditanya sama ada mereka ingin bertemu dengan Liow, ahli-ahli keluarga tidak memberikan tindak balas atau memasuki bangunan itu. "Selepas kakitangan kami membiarkan mereka terus berdiri di situ sambil dengan sopan menjelaskan kepada mereka bahawa majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina merupakan perayaan besar dan merayu supaya mengikut apa yang mereka janjikan, tiba-tiba seorang wanita menjerit, "Adakah anda menyambut Tahun Baru dengan gembira apabila orang tersayang anda telah tiada? Kami mahukan orang yang kami sayang. Ke mana perginya kapal terbang itu?" Kakitangan Wisma MCA kemudian memberikan air dan tuala kertas, serta mententeramkan mereka. Menurut kenyataan itu, walaupun Tiong Lai telah bersetuju untuk bertemu dengan ahli keluarga berkenaan, oleh sebab kelewatan yang berlaku, beliau terpaksa bergegas ke Melaka untuk menghadiri satu lagi rumah terbuka MCA. Ia menjelaskan bahawa waris tidak dihalang daripada memasuki bangunan dan kemudiannya dihidangkan makanan di bahagian VIP di Dewan San Choon.