KOTA KINABALU: Perbincangan bagi memindahkan operasi syarikat penerbangan tambang murah AirAsia ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kini pada peringkat akhir, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Perbincangan itu diharap dapat dimuktamadkan pada suku pertama tahun ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA Negeri Sabah pada Ahad. Menurut Liow dengan memindahkan operasi ke terminal utama KKIA berkenaan, masalah kesesakan penumpang di Terminal 2 lapangan terbang itu akan dapat diatasi sekali gus memberi keselesaan kepada penumpang. Mengenai pelancong dari negara China, Liow berkata pihaknya akan berusaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari negara berkenaan ke negara ini pada tahun ini. Katanya jumlah pelancong itu ke Malaysia tahun lalu ialah sejuta orang dan berharap jumlah itu dapat ditingkatkan kepada dua juta tahun ini.