suria

Tangani Ancaman, Ideologi IS Melalui Perang Siber - Polis

Gadis berusia 14 tahun ditahan di KLIA disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria.

KUALA LUMPUR: Tumpuan kepada perang siber atau Cyber Warfare perlu dipertingkatkan dalam menangani ancaman serta ideologi kumpulan militan IS daripada terus berkembang di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata pendekatan holistik perlu diwujudkan dengan kerjasama semua agensi kerajaan berkaitan termasuk pihak berkuasa agama.

Sebagai contoh, perlu ada laman web untuk menjawab segala kemusykilan masyarakat termasuk dari segi agama yang berkaitan dengan IS yang boleh dijawab secara dalam talian sepanjang masa, katanya.

"Langkah itu akan membolehkan orang ramai mendapatkan fakta yang tepat padabila-bila masa secara dalam talian berhubung segala kemusykilan mereka dalam isu IS," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Pihak berkuasa agama, sebagai contoh, boleh membetulkan semula kefahaman masyarakat dalam isu berkaitan jihad, katanya.

Ayub turut menjadikan negara jiran sebagai contoh memainkan peranan pro aktif melalui laman web mereka untuk menerangkan mengenai kesesatan IS.

“Mereka juga mengeluarkan pamflet berbahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin berkaitan penyelewengan IS dan turun padang untuk edarkan kepada masyarakat bukan sekadar memberi syarahan di dalam televisyen dan khutbah semata-mata.

“Memang sudah tiba masanya untuk wujudkan ‘engagement’ seperti ini termasuk engagement dengan pihak media untuk ‘mendidik’ semula pemahaman masyarakat tentang jihad sebenar ... masalah ini bukan lagi masalah di Malaysia sahaja iatelah merebak secara global,” katanya.

Beliau menerangkan kekuatan bahagian media IS adalah pada penguasaan mereka di dalam laman sosial dengan mempunyai beribu-ribu ‘cyber troopers’ yang cekap dan pantas dalam menjawab kenyataan pihak lain terhadap penyelewengan merekayang telah menyalah tafsirkan ayat Al-Quran dan Hadis.

Antara contoh penyelewengan IS adalah mengaitkan habuan seks dengan jihaddan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan.

“Antara justifikasi mereka ialah kononnya menghalalkan persetubuhan dengan tawanan perang serta boleh bersetubuh dengan gadis di bawah umur yang belum baligh,” katanya.

Ayub berkata demikian ketika diminta mengulas ancaman kumpulan militan IS serta penyebaran ideologinya yang tersebar secara meluas termasuk menggunakan saluran media sosial yang dilihat semakin membimbangkan apabila turut menyasarkan pelajar sekolah.

Rabu lepas, seorang gadis berusia 14 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria. 

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu merupakan pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ayub berkata pemerhatian polis mendapati masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak memahami ideologi songsang yang diutarakan kumpulan itu secara ‘senyap’ yang turut cuba mempengaruhi pelajar sekolah.

Katanya berdasarkan pemantauan, polis juga mendapati segelintir warga Malaysia masih cenderung untuk menyertai kumpulan militan di Syria walaupun telah banyak tangkapan dilakukan untuk menyekat pemergian mereka.

Beliau berkata isu pokok dalam ancaman IS adalah penyebaran ideologi dan perekrutan yang dijalankan melalui media sosial secara agresif.

IS, Cyber Warfare

Artikel Lain