suria

Musa Jamin Kestabilan Politik, Kemajuan Ekonomi Di Sabah

Musa Aman.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan akan kekal komited sepenuhnya bagi memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha mempertahan dan mengukuhkan aspek-aspek positif supaya rakyat terus mendapat manfaat di sebuah negara yang sentiasa berusaha ke arah memperbaiki kehidupan serta mengekalkan keharmonian dan kestabilan.

"Selaras dengan ini, apa-apa tindakan yang boleh memberi kesan negatif kepada perpaduan dan kestabilan harus dielakkan untuk membolehkan kita mencapai aspirasi, meningkatkan tahap sosio ekonomi dan memberi tumpuan kepada usaha membawa lebih banyak kemajuan terutama kepada penduduk di luar bandar," katanya.

Musa berkata demikian ketika menghadiri majlis makan malam 'Pesta Ang Pow' anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sini, malam Isnin.

Pada majlis itu, Musa turut mengumumkan peruntukan RM100,000 sebagai 'Ang Pow' kepada FCAS bagi menjalankan aktiviti di masa hadapan.

Musa berkata kerajaan negeri tidak pernah mengenepikan rakyat mana-mana agama atau etnik tertentu dalam melaksanakan program pembangunan, malah bekerja untuk semua dan pada setiap tahun memperuntukkan sejumlah besar dana bagi sekolah-sekolah bukan Islam dan tempat beribadat.

"Ini adalah bukti komitmen dan keikhlasan yang diamalkan oleh kerajaan dalam memastikan keperluan semua rakyat dipenuhi selaras dengan 1Malaysia.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua masyarakat Cina di Sabah supaya berdiri teguh di belakang kerajaan dan membantu kami dalam membangunkan lagi negeri ini," katanya.

Musa percaya bahawa kestabilan politik, perpaduan, keharmonian dan toleransi yang dapat ditonjolkan di Sabah akan terus menyumbang ke arah kestabilan politik dan perpaduan di peringkat kebangsaan.
Musa Aman, Sabah

Artikel Berikut

Artikel Lain