PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dibebaskan pada pagi Isnin selepas empat jam ditahan polis kerana didakwa terlibat dengan perhimpunan haram. Dalam laman sosial Twitternya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu memberitahu, dia dibebaskan pada pukul 2 pagi di Jinjang selepas keterangannya direkodkan. "Alhamdulillah selesai keterangan saya diambil. Saya telah dibebaskan sekitar 2 pagi. Tk (terima kasih) pada semua #KitaLawan #BebasAnwar #March2Freedom," katanya. Nik Nazmi ditahan pada pukul 9.45 malam Ahad di rumahnya di Denai Alam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Nik Nazmi dan aktivis pelajar Adam Adli antara penunjuk perasaan yang berkumpul di hadapan kompleks membeli-belah Sogo pada hari Sabtu bagi perhimpunan terhadap sabitan liwat pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perhimpunan tersebut bermula pukul 4 petang luar Sogo dengan persembahan tarian singa dan seterusnya ucapan daripada Adam, Nik Nazmi dan anak perempuan Anwar, Nurul Nuha Anwar. Adam ditahan oleh beberapa anggota polis berpakaian biasa ketika perhimpunan itu berakhir pukul 5.15 petang. Pihak polis cuba menangkap Nik Nazmi di perhimpunan itu, namun tidak berjaya kerana turut bergelut dengan orang ramai yang membantunya untuk melepaskan diri.