suria

Kanak-Kanak 12 Tahun Mati Lemas Di Kolam Renang Hotel

Ong Jing Jie
GEORGE TOWN: Percutian sebuah keluarga dari Johor bertukar tragis apabila anak lelaki berusia 12 tahun mati lemas di kolam renang hotel di Tanjung Bungah di sini.

Ong Jing Jie, pelajar Tahun Enam ditemui di tengah kolam renang oleh bapanya kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad.

Ibu kanak-kanak itu, yang enggan namanya disiarkan berkata anaknya itu, yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik, pergi berenang di kolam renang bersama adik-beradiknya yang lain sambil ditemani suaminya.

"Saya tidak mengikuti mereka kerana menjaga anak bongsu saya. Keadaan kolam renang sesak dan tidak seorang pun sedar apa yang berlaku sehinggalah suami saya mendapati dia hilang kira-kira 30 minit kemudian.

"Suami saya menemuinya di tengah kolam renang orang dewasa dan terjun untuk menyelamatkannya. Seorang pekerja asing cuba untuk memulihkan keadaannya tetapi gagal," kata wanita itu sambil menangis ketika bercakap kepada pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Pulau Pinang.

Beliau mendakwa, tiada petugas penyelamat apabila kejadian itu berlaku.

"Ini merupakan kunjungan kali kedua kami ke Pulau Pinang sejak perjalanan sebelumnya dua tahun lalu. Kami memilih untuk menginap di hotel yang sama kerana ia mempunyai petugas keselamatan.

"Kami telah diberitahu oleh seorang pekerja hotel selepas kejadian itu bahawa petugas keselamatan bercuti kerana Tahun Baru Cina," katanya.

Keluarga itu telah merancang untuk kembali ke Skudai sama ada pada Ahad atau Isnin selepas tiba pada petang Sabtu.

Katanya, Jing Jie adalah anak yang baik yang sangat rapat dengan adik-beradiknya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid  berkata pihak pengurusan hotel yang memberitahu polis bahawa seorang pekerja telah memberi amaran kepada kanak-kanak itu supaya tidak berenang di kolam renang orang dewasa, tetapi dia telah mengabaikan amaran tersebut.

"Bedah siasat mendedahkan kematian berpunca akibat lemas. Keluarganya telah bersetuju untuk menderma organ, " katanya.

Artikel Sebelum

Polis Bebaskan Adun Seri Setia

Artikel Lain