suria

Tulisan 'Minuman Keras' Pada 'Jolly Shandy' Perlu Jelas

IPOH: Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) menyarankan agar perkataan minuman keras ditulis dengan jelas di bahagian atas tin minuman jenama 'Jolly Shandy' bagi mengelak kekeliruan pengguna Islam.

Pengerusi Penyedar, Asmuni Awi berkata notis amaran dan peringatan perlu diletakkan di rak-rak minuman agar pengguna peka serta memahami jenis minuman tersebut yang banyak dijual secara terbuka di pasar raya sekitar negeri ini.

Justeru, beliau berkata kerjasama pasar raya dan bahagian penguatkuasaan di bawah agensi kerajaan terlibat, perlu dilaksanakan agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Semua pihak berperanan memberi maklumat dan informasi untuk mengelak kekeliruan bagi minuman atau makanan seperti ini dan adalah menjadi harapan semua pihak agar lebih sensitif dan peka berhubung isu pengguna ini," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata pemaparan reka bentuk pada tin minuman yang agak menarik itu juga mampu menimbulkan kekeliruan kepada kanak-kanak termasuk pelajar sekolah beragama Islam.

"Malah, orang dewasa yang kurang berhati-hati akan 'terbeli' minuman tersebut kerana menyangka minuman itu adalah sejenis minuman ringan baharu di pasaran," katanya.

Asmuni berkata pada 2013, banyak pihak membantah reka bentuk minuman berkenaan kerana bekas yang digunakan hampir sama seperti minuman ringan lain.

"Kandungan sebenar minuman ini tidak dinyatakan jelas, malah corak dan warna tin minuman tersebut seolah-olah sama seperti tin minuman biasa yang berada di pasaran tempatan khasnya.

"Perkataan 'contains alcohol' (mengandungi alkohol) pula hanya dicatatkan dengan tulisan kecil di belakang tin tersebut dan kurang difahami terutamanya kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata minuman keluaran Malaysia itu juga mempunyai campuran 'Carlsberg' dengan perisa ringan yang lain seperti laici, gorden kiwi, epal dan nenas.

Jolly Shandy

Artikel Sebelum

Artikel Lain