SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan bekas setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapatkan dokumen berkenaan penyelesaian hutang Bank Islam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu selepas mendapati permohonan yang difailkan oleh Saifuddin dalam kes saman fitnah terhadapnya tidak mempunyai merit. Mahkamah turut menetapkan selama empat hari bermula 18 Mei depan untuk perbicaraan kes saman itu. Pada 18 Ogos tahun lepas, Abdul Khalid memfailkan saman terhadap Saifuddin secara peribadi dan atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Agung PKR (ketika saman difailkan) berhubung pengedaran dokumen laporan 'Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor', bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnah bekas menteri besar itu. Selain menuntut ganti rugi, Abdul Khalid yang memfailkan saman melalui Tetuan Bon, memohon perintah menghalang Saifuddin atau wakilnya, pekerjanya dan kakitangannya dari menerbit, mengeluar, mengedar, mencetak atau menyebabkan perkataan yang memfitnah beliau (Abdul Khalid). Pada 9 Jan lepas, Saifuddin memfailkan permohonan bagi mendapatkan daripada Abdul Khalid beberapa dokumen berkenaan penyelesaian hutang di luar mahkamah di antara bekas menteri besar Selangor itu dan Bank Islam atas alasan dokumen tersebut penting untuk menyokong kes saman terhadap beliau. Abdul Khalid dalam afidavit jawapannya antara lain memberitahu bahawa beliau tidak dibenar untuk menzahirkan terma penyelesaian di luar mahkamah berkenaan tanpa keizinan pihak Bank Islam kerana beliau terikat dengan perjanjian ketakdedahan (non-disclosure agreement). Bekas menteri besar itu berkata jika terma penyelesaian tersebut didedahkan ia akan memprejudis dan menjejaskan penyelesaian di antara beliau dengan Bank Islam. Selain itu, Abdul Khalid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang berkata Saifuddin memfailkan permohonan tersebut dengan niat jahat dan merupakan satu 'fishing expedition' (percubaan 'memancing' maklumat) semata-mata.